Siapa
kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang
mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan
tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia
sebenarnya.
Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang
untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam
relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di
sisi kita. SubhanaAllah! Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi
menenangkan.
Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri
sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.
Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan
iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk
memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan
setiap yang sumbang.
Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu
untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi.
Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu
menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.
Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan
parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan
cengkaman dosa? Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut
menghantui. Astargfirullahalazim...
Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah.
Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT
ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia
biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata
inginkan kamu kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya,
untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.
Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri.
Bersangka baiklah dengan Allah.
Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan
hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu
inginkan" (Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)
Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu
mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala
hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha
Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik
untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah
mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
No comments:
Post a Comment